Wednesday, 1 February 2017

RASUAH SATU JENAYAH (pantun)

Mudik sungai pergi ke kota
Pasang surut mengikut masa
Kita hidup biar sederhana
Ramai pula hidup bergaya

Kalau hanya mampu berakit
Jangan bahtera pula dipilih
Kalau biasa cukup berdikit
Jangan pula belanja berlebih

Kalau bernakhoda kesana kemari
Mana bekalan nak mencukupi
Tamak haloba menjadi-jadi
Duit haram tak kisah lagi

Ukur dayung di sampan sendiri
Bukan ukur di lancang gergasi
Kerbau mengamuk boleh dikandang
Manusia tamak pandai merancang

Kayuh sampan berhati-hati
Terumbu karang terlanggar nanti
Fikir dahulu sebelum transaksi
Kalau terjebak tak guna sesali

Kalau bocor sampan dibiar
Cukup masa tenggelam belaka
Kalau dibenar rasuah berakar
Negara tergadai sengsara semua

Susah mendayung di dalam gelap
Sadaikan sampan menunggu pagi
Dulu mencuri di dalam gelap
Sekarang merasuah di siang hari

Sepandai-pandai tupai melompat
Kelak jatuh ke tanah juga
Lapur rasuah ke SPRM cepat
Cukup bukti tertangkap juga

Kalau pandai mengawal tupai
Terhindar rosak buah sepokok
SPRM mesti gigih dan pandai
Jangan tertipu di dalam pujuk

Kayuh sampan jauh ketengah
Kail jerung dan ikan kelah
Semua rasuah kena ditegah
Jangan pilih hanya yang lemah

Sampan bocor segera baiki
Boleh terus tuju destinasi
Kalau semua bersikap rabbani
Wabak rasuah tidak menjadi

Pantas berkayuh tuju destinasi
Muara tenang mudah ditempuhi
Bila rasuah dapat diatasi
Negara maju rezeki melimpahi

Firman Allah: (maksudnya)
“Dan janganlah kamu makan (mengambil) harta antara kamu dengan cara yang batil, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan cara dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)” (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Nukilan drK@KuantumHarapan, 2016

Pautan lain (Other links):
The Cash King
Kleptokrasi Tumbang, Pencuri Lintang-Pukang
Kerana Pengampu Ramai Tertipu

No comments:

Post a Comment