Wednesday, 29 May 2019

Jangan Tinggalkan Ramadhan (puisi akhir Ramadhan)

Ramadhan
belum pergi
Jangan pula kita
yang lari

Ramadhan
belum tiada
Jangan pula kita
tinggalkan-nya

Ramadhan
masih ada
Jangan hanya
sibuk nak raya

Ramadhan
belum pergi
Jangan jadi
tak peduli

Ramadhan
masih bersama
Cepat ibadat
semampu dapat

Ramadhan
masih ada
Sempat munajat
segala hajat

Ramadhan
masih bersama
Pintu syurga
masih terbuka

Ramadhan
hanya sementara
Ingat taubat
dosa dibuat

Ramadhan
bila tiada
Pasti kempunan
untuk bersua

Ramadhan
bila pergi
Tak pasti
dapat bertemu lagi

Selamat Hari Raya dan maaf, zahir & batin.

Nukilan drK@KuantumHarapan, Jun 2019

Saturday, 25 May 2019

Al-Quran dan Ramadhan (puisi Ramadhan 2019)

Al-Quran
dibaca
lapang dada
Dilagu
sangat merdu

Al-Quran
ditaddabur
minda subur
Dikaji
hikmah disaji

Al-Quran
dipisah
rasa gelisah
Dijauhi
terlupa diri

Al-Quran
pedoman
petunjuk jalan
Al-Quran
panduan
lurus kehidupan

Al-Quran
penyelamat
dari kegelapan
Al-Quran
cahaya
penyuluh hala

Al-Quran
mercu
ketundukan
Al-Quran
dinuzulkan
bulan Ramadhan

Mesej Al-Quran
ketauhidan
Mesej Al-Quran
keimanan
Jadikan Al-Quran
panduan
Jadikan Al-Quran
pegangan

Nukilan drK@KuantumHarapan, Jun 2019

Rasulullah (s.a.w.) bersabda:
“Tidaklah berkumpul sebuah kaum di salah satu rumah Allah, mereka membaca kitab Allah dan mempelajarinya, kecuali akan turun ketentraman kepada mereka, diliputi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah akan menyebut mereka ke hadapan makhluk di sisi-Nya.” (HR. Muslim)

Sunday, 19 May 2019

al-Quran di Minda dan Jiwa (puisi sempena memperingati peristiwa Nuzul al-Quran)

Peristiwa Nuzul al-Quran
bawa mesej ketauhidan
Tak terpisah dari Ramadhan
Mercu tanda keimanan

al-Quran boleh diibarat
sebagai peta kehidupan
Jika tak ingin tersesat
jadikan al-Quran panduan

Segala hal yang perlu
untuk perjalanan hidup
semua sudah diwahyu
lengkap dan cukup

al-Quran beri jawapan
asal kejadian insan
al-Quran beri penjelasan
tujuan penciptaan

al-Quran beri panduan
Syariat dan kemanusiaan
al-Quran beri penjelasan
negara dan keadilan
al-Quran beri jawapan
pelbagai persoalan

al-Quran adalah kebenaran
risalah kesinambungan
al-Quran bagi cabaran(*)
tiada yang mampu lawan

al-Quran sangat menakjubkan
Bahasanya tiada tandingan
Fakta sains menghairankan
Tepat pula segala ramalan

Kesan al-Quran diminda
bukan terhenti dijiwa
Perlu taddabur makna
bukan sekadar baca

Kalau diabaikan makna
terlindung maksud ayat
tak dapat korek mutiara
tak tahu yang tersurat

Bahasa bukan alasan
kesulitan memahamkan
Isi kandungan al-Quran
sudah ada terjemahan

Minda faham al-Quran
terhasil insan rabbani
al-Quran jadi pegangan
hidup penuh integriti

Minda faham al-Quran
terhasil jiwa kesedaran
Lahir insan perjuangan
membina masa depan

Allah SWT berfirman:
"(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar."
(QS. Sad 38: Ayat 29)

Nukilan drK@KuantumHarapan, Mei 2019

*Nota kaki:
Surah Hud, Ayat 13
Surah Yunus, Ayat 38
Surah Al-Baqarah, Ayat 23

Friday, 17 May 2019

Jururawat Pekerjaan Mulia (puisi padat sempena Hari Jururawat)

Hebatnya jururawat
Kerja mereka berat
Rajin sangat-sangat
Senyum tak buat-buat

Rajin jururawat
tinggi semangat
Cakapnya lembut
kerja tak kalut

Khidmatnya cepat
jaga seluruh wad
Senyumannya ubat
pesakit rasa sihat

Kerja jururawat
amatlah menduga
Jiwa tersemat
kesabaran luar biasa

Sanggup rawat
yang cedera dan parah
Sanggup lihat
mayat dan darah

Jururawat muslimah
patuh pula syariat
cantik bertambah
kemas tutup aurat

Jururawat sihat
pesakit sembuh cepat
Jururawat penat sangat
perlu cukup rehat

Jadikan kerja
sebagai ibadat
Niat di dada
keikhlasan tersemat

Bukan kerja
untuk gaji semata
Di akhirat nanti
ganjaran menanti

Doakan jururawat
teruskan berkhidmat
Hidup mereka berkat
di dunia dan akhirat

Terima kasih, semua jururawat!

Thursday, 9 May 2019

Malu Apa Bossku, Inikan Ramadhan...

(baca biar habis 🙂)

Buat apa nak malu
Inikan Ramadhan
Sujudlah kamu
tanda ketundukkan

Buat apa nak malu
Inikan bulan keberkatan
Taubatlah kamu
tanda penyesalan

Orang berpuasa
tak sedih
pahalanya berganda
diamnya tasbih

Orang berpuasa
tak gundah
doanya mustajab
tidurnya ibadah

Untung sangat
perbanyak sedekah
Untung sangat
perbanyak dakwah

Rugi sangat
terus mengumpat
Rugi sangat
terus tak taat

Untung sangat
banyak tilawah
Untung sangat
henti rasuah

Rugi sangat
terus terus liat
Rugi sangat
lalai kuat

Buat apa malu?
Akulah Bossku
Ini tentang aku
Aku risau Ramadhanku

Ramadhan Kareeem (Ramadhan mulia)
Allahu Akram (Allah lebih mulia)