Thursday, 28 December 2017

Selamat Tahun Baru 2020

Tahun baru
detik ditunggu
Tahun 2019
dibiar berlalu

Tiba 2020
teruja sangat
Ada usia
syukur sempat

Tahun baru
cabaran berganda
Banyak perkara
belum terdaya

Negara maju
belum kesampaian
Wawasan 2020
tinggal kenangan

Ketirisan
jadi punca
Kerakusan
bawa bencana
Salah orang
boleh dicari
Salah sendiri
sukar akui

Malaysia Baru
bagai mimpi
Banyak isu
perlu tangani

Antara bangsa
masih prasangka
Ekonomi pula
berbeza ketara

Institusi masih
belum perkasa
Kuasa boleh
disalah guna

Burung tekukur
tanding suara
Murai di rimba
dibaham serigala
Orang besar
berebut kuasa
Rakyat jelata
terbiar derita

Burung kenari
berkicau selalu
Raja udang
di tebing hulu
Untuk negara
terus maju
Banyak perubahan
masih perlu

Raikan kesamaan
Ketepikan perbezaan
Kita maju kehadapan
dengan penuh keinsanan

Nukilan drK@KuantumHarapan, versi Dis. 2020

Sunday, 17 December 2017

Majlis Pertunangan Anak Kelima (puisi & pantun)

Pekan Raub di negeri Pahang
Daerah masyhur raja durian
Dari Damansara kami datang
Nak petik bunga di taman tuan

Sepasang merpati sudah berjanji
Burung lain sudah ketepi
Menyampai hajat Putera kami
Meminang Puteri pilihan hati

Adat setempat dijunjung hormat
Dulang hantaran terhias sangat
Kedua pihak menghurai hajat
Bertolak ansur membawa berkat

Cincin sebentuk sebagai tanda
Ikatan pertunangan jadi sempurna
Pihak perempuan setuju terima
Pihak lelaki syukur dan gembira

Cincin disarung bakal mertua
Keluarga gembira foto bersama
Lepas makan masa dah tiba
Janji dibawa pulang bersama

Nukilan drK @ KuantumHarapan, Dis 2017

Friday, 8 December 2017

Membujur Lalu, Melintang Patah? (pantun pra PRU)

Murai berkicau pipit mencelah
Kerbau meredah sawah musnah
Ucapan berbisa tersangat petah
Membujur lalu, melintang patah

Kerbau amuk tiung melayang
Pipit tersekat terbang dekat
Hadirin bersorak dalam sidang
Tapi lemah membela rakyat

Kerbau meredah sawah musnah
Titian patah menyeberang susah
Hadirat cantik nampak bergetah
Tapi lemah menghalang rasuah

Kerbau tertahan pagar berduri
Jangan pagar yang makan padi
Rakyat mahu mereka dilindungi
Yang lemah dibela parti dipuji

Di sawah luas kerbau beraja
Tiung setia entah ke mana
Bila sudah lama berkuasa
Kekayaan jadi lebih utama

Kerbau goncang sarang tebuan
Tiung disengat tanpa kasihan
Bila sibuk pertahan kedudukan
Susah rakyat mula diabaikan

Titian patah rosaknya sangat
Tiang goyang cepat diikat
Orang melintang kena dipecat
Orang membujur segala dapat

Buaya di sungai jangan tersalah
Lembu seekor dibaham mudah
Amalan rasuah menjadi parah
Bangkit rakyat membawa padah

Bagai hikayat Melayu Melaka
Jebat ditewas Tuah yang tua
Tiada ucapan melintang patah
Titian roboh semua terngadah

Sabda Nabi (s.a.w.):
“Sesungguhnya ia (kuasa) adalah amanah.
Dan pada hari kiamat ia merupakan kehinaan
dan penyesalan, kecuali bagi yang mengambil
-nya sesuai dengan haknya dan melaksanakan
apa yang menjadi tuntutannya”.
(Hadis riwayat Muslim).

Nukilan drK@ KuantumHarapan, versi Jun 2018