Monday, 5 November 2018

Jom Cari Soto Bagan Datuk (puisi santai Jalan-jalan Cari Makan)

Bagan Datuk
jom jenguk
Ahad pagi
dekat jeti

Soto ayam
mangkuk Cina
Resipi istimewa
pasti teruja

Soto daging
mangkuk sama
Soun goreng
resipi rahsia

Pecal jawa
mee goreng
campur sama
kuah kacang

Satay manis
sedap habis
Cendol pulak
cukup lemak

Tapai ubi
jilat jari
Tapai pulut
cuci mulut

Kari Manap
jamin sedap
Kepala ikan
tiada lawan

Jomlah...
'Bagan Tok Kelah'
banyak juadah
Tepian sungai
sama bersantai

Nukilan drK@KuantumHarapan, 6hb November 2018

Friday, 31 August 2018

Sayangi Malaysiaku (Puisi Sempena Sambutan Ulang Tahun Merdeka ke 61)

Sambutan Merdeka bergema lagi
Kali ini istimewa sekali
Sangat terasa maruah dikembali
Kita punya negara ini

Merdeka dulu tentang penjajah
Berjuang dengan penuh gagah
Kini rakyat menentang rasuah
Kleptokrasi gah dapat dikalah

Jalur gemilang berkibar megah
British serah bukannya mudah
Kleptokrasi ditumpas bersusah payah
Jangan ada yang buat tak endah

Seluruh rakyat harus bersatu
Bawah tema Sayangi Malaysiaku
Kuasa rakyat jadi penentu
Pastikan Malaysia betul hala tuju

Nukilan drK@KuantumHarapan, 31 hb Ogos 2018

Wednesday, 15 August 2018

Tandas LGBT Tenggelam GST

Riuh hal LGBT
melebihi 1MDB
Letihlah menteri
terang isu ini

Duit GST
pula kena curi
Ramai tak peduli
sibuk tandas LGBT

Debat LGBT
sampai tuding jari
RM19 billion dicuri
masuk telinga kiri

LGBT popular lagi
GST susah difahami
Tanpa disedari
kena curi lagi

Tandas masuk LGBT
Rumah masuk pencuri
Perlu sama dipeduli
Dua-dua diangkat sekali

Nukilan drK@KuantumHarapan, 15hb Ogos 2018

Tuesday, 7 August 2018

Equanimity Mercu Tanda Korupsi ( puisi sempena ketibaannya di Pelabuhan Klang)

Dah ada kat jeti
Mula cuba lari
Sorok sana sini
Satu dunia cari

Equanimity
itu nama diberi
Beli duit curi
skandal 1MDB

Equanimity
Mercu tanda korupsi
Rasuah saiz gergasi
Hasil dari kleptokrasi

Duit rakyat dicuri
ditipu teruk sekali
Pastinya ramai kroni
masih bebas lagi

Joe Low dok nafi
tapi cabut lari
Bila tangkap nanti
terbongkar misteri

Yang buat tak reti
Tidur mimpi ngeri
Nasi tak selera lagi
Quinoa tak bererti

Menteri kena cari
pembida tertinggi
Dapat RM1 billion kembali
Sedikit terubat hati ini

Nukilan drK@KuantumHarapan, 7hb Ogos 2018

Saturday, 30 June 2018

The Cash King (puisi anti rasuah pasca PRU-14)

Cash is king
Duit yang penting
Angguk tak geleng
Sokong tak paling

Cash is king
Tak banyak pening
Tabur aje dedak
Sokongan mendadak

Dulu duit raja
Boleh beli sesiapa
Senjata politik dia
Jamin terus berkuasa

Dulu duit raja
Parti dapat berjuta
Duit 1MDB ke?
Duit dari mana?

Beli rakyat pulak
Tabur aje dedak
Depa undi jugak
Tegur tentu tidak

Politik yang lawan
Boleh jadi kawan
Siapa kena beli
Sanggup diam diri

Cash is king
Bini gila shopping
Beg jenama impian
Birkin dan Bijan

Cash was king
Sekarang baru runsing
Rakyat dah berpaling
BN dah terguling

Nukilan drK@KuantumHarapan, Julai 2018

Links:
Rasuah Satu Jenayah

Tuesday, 29 May 2018

Wartawan Malaysia Baharu (puisi sempena Hari Wartawan)

Tugas wartawan
penuh cabaran
Berita menawan
biar bertepatan

Tugas wartawan
Lapurkan kebenaran
Dalam sembang
berita seimbang

Berita sensasi
biar tepat isi
Media bebas
rasuah terbatas

Soal jawab
bertanggungjawab
Skandal dedah
jangan berbelah

Salah guna kuasa
mesti didedah
Jadikan kerjaya
sebagai ibadah

Ingat wartawan
jangan berkepentingan!
Tugas wartawan
teguran sampaikan

Usah mengampu
bukan macam dulu
Wartawan tak dibelenggu
dalam Malaysia baharu

Nukilan drK@KuantumHarapan, Mei 2018
😉😎🤣

Friday, 25 May 2018

Kerana Pengampu, Ramai Tertipu (puisi pasca PRU-14)

Kerja pengampu
nakkan sesuatu
Orang diampu
selalu tertipu

Bagi pengampu
prinsip tepi dulu
Sikap pengampu
kipas untuk maju

Selalu pengampu
penting diri dulu
Kaki mengampu
nak dedak dulu

Dibiar pengampu
ramai tertipu
Kerana pengampu
duit rakyat disapu

Pandai mengampu
naik pangkat laju
Angguk setuju
rasuah berlalu

Betul menteriku
bodek pengampu
Lantiklah aku
hajat pengampu

Kronik mengampu
hati membatu
Buta salah laku
asal dapat sesuatu

Kerana pengampu
menteri tertipu
Kalah PRU
baru YB tahu

Lepas PRU
lari pengampu
Nasib bos dulu
sendirilah tahu

Kemudian pengampu
cari bos baru
Awasi menteri baru
pengampu tunggu

Kalian pengampu
bertaubatlah kamu
Takutlah pengampu
balasan menunggu

Rasulullah SAW ditanya oleh seorang sahabat, “Wahai Rasulullah, apakah tanda-tanda kiamat? Baginda menjawab, “Apabila amanah itu disia-siakan.” Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu disia-siakan?” Jawab Baginda, “Apabila diserahkan satu urusan pada bukan ahlinya. Maka tunggulah berlakunya kiamat.” (Riwayat Bukhari)

Nukilan drK@KuantumHarapan, Mei 2018

Friday, 18 May 2018

Kleptokrasi Tumbang, Pencuri Lintang-Pukang (puisi PRU-14)

PRU-14 baru berlalu
Suara rakyat kuasa penentu
Pakatan tubuh kerajaan baru
Perubahan yang rakyat mahu

Dayung perahu waktu tenang
Sampai di muara ribut tiba
Ramai sangka hanya gelombang
Tapi tsunami datang melanda

Rakyat marah sudah dijangka
Bahang panas dah lama terasa
Hanya Barisan tak mengaku
'Nakhoda' saja buat tak tahu

Barisan seperti terpisah realiti
pertahan ketua apa pun jadi
Ada elemen politik fudal [1]
pemimpin jangan disoal

Barisan tewas pelbagai sebab
Pecah amanah persepsi utama
Kos hidup juga penyebab
GST mencekik rakyat jelata

Rakyat bergelut kos hidup
EPF dedah jurang ketara
antara B40 dan yang cukup [2]
GST tambah beban mereka

Duit 1MDB entah ke mana
Tiada usaha nak menjejaki
Negara dimalu seluruh dunia
Kerajaan BN dicap kleptokrasi

Dalam negara kleptokrasi
Kita diperintah pencuri
Duit rakyat dah tak peduli
Asal kaya keluarga dan diri

Siasatan 1MDB terhalang
Lapuran audit dikekang
AG Ghani diberhenti
MACC macam tergari [3]

1MDB disiasat enam negara
termasuk Swiss dan Amerika [4]
Betulkah kleptokrat tipu kita?
duit dilari serata dunia?

Pisang emas masak sepeti
Belum dihidang sudah dicuri
RM2.6 bilion ke akaun peribadi
RM42.3 bilion hutang 1MDB [5]

BN boros bukan sedikit
Buat projek mega berbagai
Hutang cecah 1 trillion ringgit [6]
Kalau dibiar negara tergadai

Demokrasi telah BN cemari
Ada persepsi institusi dibuli [7]
SPRM, ROS dan AGC diguna
lindung BN dan pemimpinnya

FELDA, KWAP dan Tabung Haji
tak terlepas dari dinodai [8]
Berjuta ringgit dimanipulasi
Adakah ini sekadar persepsi?

Pemimpin BN bermulut manis
Rupanya tertipu dalam tangis
Rakyat sangka dibela habis
Tapi duit negara dikikis

Akhirnya rakyat naik geram
Bahtera BN pun dikaram
Kleptokrasi sama ditumbang
'Lanun' jadi lintang-pukang

Semasa lari selamat diri
'Pistol berasap' ditinggal bukti
Keluar negara tak boleh lagi
Tiba masa mengadap MACC

Peluang Dr M Perdana Menteri
laksana janji 100 hari [9]
Perbetul kerosakan kleptokrasi
Malaysia kembali berintegriti

Firman Allah SWT :
"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan" (Surah Hud: 113)

Nukilan drK@KuantumHarapan, Mei 2018

Saturday, 5 May 2018

Politik 'Sekali Air Bah...'(puisi)

Sekali air bah
Sekali pasir berubah
Politik beralih arah
Parti boleh pindah

Dr M dulu dah sah
Sekarang berubahkah?
Perlu selalu beringat
Jangan lagi disengat

Dulu Dr M berkuasa
Sekarang rakyat biasa
Bila berkuasa semula
Apakah janji dikota?

Sekali air bah
Usah tempayan dipecah
Dulu Dr M buat salah
Sekarang tebus maruah

Pakatan tiada pilihan
Tun M negarawan
Dia jadi harapan
Biar rakyat tentukan

Sekali air bah
Pantai boleh berubah
Kalau betul lain dah
Syukur alhamdulillah

Sabda Nabi (s.a.w.):
“Sesungguhnya ia (kuasa) adalah amanah. 
Dan pada hari kiamat ia merupakan kehinaan
dan penyesalan, kecuali bagi yang mengambil
-nya sesuai dengan haknya dan melaksanakan
apa yang menjadi tuntutannya”. 
(Hadis riwayat Muslim).

Nukilan drK@KuantumHarapan, Mei 2018

Friday, 20 April 2018

Pengundi Bijak (puisi)

Rakyat bijak
Tak dipijak
Tabur dedak
Tertipu tidak

Politik galak
Rakyat cuak
Rakyat masak
Tak berganjak

Janji banyak
Tengok beliak
Terbeli tidak
Usah tergamak

Undi teragak
Fikirlah kakak
Nasib anak
Fikirlah bapak

Negara rosak
Hidup berasak
Susah kelak
Hidup terdesak

Undi satu hak
Penentu pulak
Menang tak berpuak
Kalah tak berarak

Undi campak
Tidaklah bijak

Nukilan drK@KuantumHarapan, April 2018

Sunday, 15 April 2018

Rupanya Ketenangan Yang Ku Cari (puisi)

Bila banyak nikmat dunia
Hidup indah mempersona
Tapi tiada ketenangan jiwa
Hati selalu gundah gulana

Rupanya
pingat dan pangkat
kedudukan dan darjat
harta dan kekayaan
Belum tentu kebahagiaan
Jiwa masih keresahan

Rupanya
Ku cari pangkat
ku lupa berkat
Ku cari harta
ku lupa redha
Ku cari dunia
ku lupa fana
Ku cari cinta
ku lupa Pencipta
Jiwa selalu lalai
ibadah selalu terabai

Ku cari kawan-kawan
seketika menghiburkan
esok kembali kesunyian
Masih terasa kekosongan
Masih tercari ketenangan

Rupanya
selalu mengingat-Nya
dan mengingati mati
Rupanya
berkawan dengan al-Quran
dan cuba memahami
ada ketenangan yang ku cari

Rupanya
Berbakti ibu bapa
terutama ketika tua
Ada ketenangan jiwa

Rupanya
zuhud harta
Allah sayang kita
Rupanya
banyak bersyukur
baru nenyak tidur
Ketenangan bagi yang akur

Rupanya
bayar zakat
sedekah jangan sekat
berkorban selagi dapat
dengan Allah rasa rapat
Ketenangan terasa sangat

Rupanya
pada dunia usah menyerah
ia jambatan ke akhirah
Ketundukan pada Allah
ketenangan yang tak sudah

Rupanya
dengan kemurniaan niat
dunia dan pangkat
harta dan pingat
semuanya boleh berkat
Ketenangan pasti dapat

Nukilan drK@KuantumHarapan, April 2018

Monday, 9 April 2018

Politik & Ayaq Kikeh (SM Sains Perlis) (puisi santai)

Air dikikis
bagai tak habis
Sekolah di Perlis
berjiwa kalis

Politik kikis
perlu ditepis
Janji manis
kena ditapis

Politik kikis
timun digilis
Makan habis
tinggal bilis

Politik kikis
sukar dilepas
Pagi mengipas
petang mengebas

Politik kikis
berbau hamis
Dibuang terguris
disimpan tiris

Politik kikis
maruah terhakis
Dibiar pipis
ditukar beres

Air kikis
kenangan manis
Sama merintis
tidak menangis

Nukilan drK@KuantumHarapan, April 2018

Friday, 6 April 2018

Politik & Polemik Rendang 'Crispy' (puisi)

Anak Pengeran duduk di peti
Berdiri di pintu sambil menilik
Rasa hairan di dalam hati
Negara kecik politik licik

Rakyat marhaen kenalah celik
Jangan tertipu lakonan cantek
Harus beza yang mana dedak
Rakyat perlu selalu bijak

Bila babi masuk mesjid
Semua bagai nak menjerit
Rendang 'crispy' ramai marah
Tapi berdiam perkara salah

Rendang kan makanan tradisi
Berzaman dimasak tidak 'crispy'
Geram rasa di lubuk hati
Jati diri bagai dinodai

Polemik rendang cepat merebak
Orang politik tumpang gempak
Pasal rendang tunjuk berani
Pasal salah berdiam diri

Jom amalkan politik sihat
Jauhi dari tipu dan muslihat
Berpolitik biar pekerti tinggi
Undi jangan dimanipulasi

Tuan Puteri berbaju biru
Dihiasi permata batu seribu
Kini era politik baru
Kuasa rakyat jadi penentu

Firman Allah :
“Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Surah al-Maidah ayat 8)

Nukilan drK@KuantumHarapan, April 2018

Friday, 9 March 2018

PRU-14: Bersama Merai Demokrasi (puisi pilihanraya)

Bahang PRU  semakin terasa
Amalan demokrasi negara kita
Tarikhnya masih teka-teki
Parti-parti perhebat strategi

Bakal-bakal YB dah pakai topi
Topi dipakai berlogo parti
Isyarat kempen sudah ditingkat
Tanda PRU dah hampir sangat

Ahli parti turut bertopi
Sampai manifesto sana sini
Terangkan rancangan dan polisi
Sebanyak dapat meraih undi

Ada YB yang pakai "topeng"
Dulu tabur janji kosong
Lepas menang selalu ponteng
Sekarang rayu minta sokong

Sanggup YB ber"topeng" lagi
Pusing kawasan jalan kaki
Mesti pamir baik peribadi
Mesti tunjuk tinggi simpati

"Topeng" YB boleh makan diri
Sampai bila kelentong pengundi
Nanti YB jadi bahan gelak
Gerak sudah boleh diagak

Media massa agenda pilihan
Media sosial berwarna warni
Bertubi-tubi mengkritik lawan
Bersaing sengit curi persepsi

Cabar-mencabar semakin menjadi
Banyak kenyataan sangat sensasi
Boleh pengaruh ramai pengundi
Janji ditabur serata negeri

Beginilah rakyat merai demokrasi
Negara ke arah politik dua parti
Seperti Amerika dan beberapa lagi
Rintihan rakyat lebih didengari

Bila rakyat menilai kepimpinan
YB dan parti tingkat akauntabiliti
Kalah menang bukan persoalan
Subur demokrasi amanah terdiri

Pemimpin kita datang dan pergi
Parti boleh bertukar ganti
Asal rakyat saling menghormati
Sesama kita sentiasa harmoni

Firman Allah (s.w.t.):
“Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Quran Al-Maidah ayat 8)

Nukilan drK@KuantumHarapan, Mac 2018

Thursday, 15 February 2018

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina (puisi)

Tahun Baru Cina
sambutan tradisi
Kalendar Cina
berasas qamari

Tersemat simbol
untung dan rugi
Lambang kemakmuran
serta rezeki

Sambutan ini
sudah bergenerasi
Turun temurun
sejak 4000 tahun lagi

Bunga dan limau
simbol rezeki
Rumah dan taman
cantik dihiasi

Tarian singa
memang berseni
Warna merah
nampak berseri

Tua muda
saling mengunjungi
Ang Pau bagi
yang bujang lagi

Tahun Baru
berkumpul sekeluarga
Mengaduk Yee Sang
makan bersama

Kepada rakan-rakan
berbangsa Cina
Kita ucapkan
XIN NIAN KUAI LE

Nukilan drK@KuantumHarapan, ver Feb. 2019

Juga lihat: http://drkamalkuantumharapan.blogspot.co.id/2017/01/xin-nian-kuai-le-happy-chinese-new-year.html?m=1

Wednesday, 31 January 2018

Gerhana Bulan Antara Tanda (31hb Januari 2018- puisi)

Gerhana bulan amat menakjubkan
Bukan sebab suatu kecelakaan
Bayang bumi menutupi bulan
Adanya Pencipta mengatur gerakan

Gerhana bulan satu aturan
Berlaku tepat mengikut ketentuan
Jasad samawi di orbit sendiri
Tiga jasad sejajar posisi

Gerhana diperlihat kepada semua
Kejadian bukan perkara sia-sia
Jelas nyata keagungan Pencipta
Allah berkuasa atas segalanya

Gerhana bukan kejadian sia-sia
Ia antara tanda aturan Pencipta
Tiada kacau bilau angkasa raya
Alam ditadbir Tuhan Yang Esa

Kehendak Allah berlaku gerhana
Tak dapat ia dihalang sesiapa
Orang berfikir mereka memahami
Orang berzikir mereka menginsafi

Nukilan drK@KuantumHarapan, 31Januari 2018

Tuesday, 30 January 2018

Waktu dan Kita (puisi)

Waktu usia menjadi tua
Baru sedar muda dipersia
Waktu dapat sakit kronik
Baru tekan butang panik

Waktu gaji dapat beribu
Tak ingatpun nak bagi ibu
Waktu ibu bapa dah tiada
Rasa pula giliran kita

Waktu rambut masih hitam
Asyik enjoy siang malam
Waktu rambut sudah beruban
Baru nak buat amalan

Waktu muda banyak tenaga
Tak gunakan bela agama
Waktu tua dah tak bermaya
Nak cakap tak keluar suara

Waktu hidup senang lenang
Tak pun tolong orang malang
Waktu nyawa hujung tanduk
Baru teringat bekalan esok

Nukilan drK@KuantumHarapan, Jan. 2018