Sunday, 29 January 2017

SELAMAT HARI MALAYSIA (puisi)

16 September Hari Malaysia
1963 terbentuk negara tercinta
Sabah, Sarawak bersama Malaya
Kekal membentuk satu negara

Hujan emas negeri orang
Hujan batu negeri sendiri
Indah khabar negeri seberang
Baik lagi negara sendiri

Di mana tempat bumi dipijak
Di situ harus langit di junjung
Cinta negara suburkan semerbak
Musuh negara sama membendung

Negara bangsa bersatu padu
Wilayah dan etnik terintegrasi
Bangsa Malaysia sejahtera selalu
Masa hadapan sama dikongsi

Walau terpisah seberang lautan
Sabah dan Sarawak seiring jalan
Kerana geografi kita berjauhan
Atas muafakat rasa berdekatan

Timur dan Barat sama berhubung
Kepelbagaian budaya dapat dipergiat
Integrasi terbina dengan Semenanjung
Malaysia terbuka sekalian rakyat

Kita mengharung hidup bersama
Hak dan keadilan sama serata
Mari perkukuh Bangsa Malaysia
Ketinggian cinta pada negara

Bulat air kerana pembentung
Bulat manusia kerana muafakat
Warga negara terus beruntung
Selagi semua kekal sepakat

Walau tinggi kelapa di gantung
Ada saja tupai berkunjung
Perjanjian sesama harus dijunjung
Ancaman negara sama dibendung

Negara mesti kejar kecemerlangan
Cepat sedari segala kemungkinan
Jangan minda terkongkong zaman
Tangkas hadapi segala rintangan

Ekonomi perlu daya ketahanan
Mampu berdepan dengan persaingan
Pengagihan kekayaan mesti saksama
Baru kemajuan dinikmati bersama

Duduk biar sama rendah
Berdiri biar sama tinggi
Hati gajah sama dilapah
Hati kuman sama dicecahi

Suku dan bangsa maju serata
Timur dan Barat bangun bersama
Tiada tersemat rasa curiga
Aman makmur Malaysia tercinta

Firman Allah (s.w.t.):
"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri (itu) beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi..." [Surah Al-A’raf/7:96].

Sabda Nabi (s.a.w.):
 “Wahai Allah, jadikan kami mencintai Madinah, seperti kami mencintai Makkah atau lebih dari mencintai Makkah.” (Shahih Al Bukhari)


Nukilan drK@KuantumHarapan, Sept 2016

3 comments: