Bagan Datuk tanah tumpah darahku
Tempat lahir dan pendidikan awalku
Ia perkampungan pekebun kelapa dan nelayan
Beting Beras Basah tempat istiadat Sultan
Bagan Datuk pekan kecil yang sunyi
Hanya dua baris kedai yang membarisi
Ada yang menggelarnya `pekan mati’
Tarikan utama adalah sebuah jeti
Dahulu ada bot tambang ke Pangkor dan Sitiawan
Tapi tidak lagi selepas adanya jambatan
Kini jeti hanya tempat memancing dan berlibur
Namun pembangunan Bagan Datuk sudah mula disusun atur
Sejarah silamnya kurang diketahui orang
Tambahan pula oleh generasi sekarang
Nama Bagan Datuk ada perkaitan sejarah
Penempatan dibuka (1880-an) oleh Tok Kelah
Asal penempatan berstruktur bagan
rumah tepi laut bertitian ke daratan
Barangkali orang luar panggilnya Bagan Tok
Kemudian bertukar panggilan Bagan Datok
Straits Plantation Company Limited (1896)
menggunakan nama Bagan Datoh,
Mungkin kesukaran orang Inggeris menyebut “Datok”,
jadi sebutannya ditukar kepada “Datoh”,
Kini diperbetulkan sebutan dan ejaan kepada Bagan Datuk
Mungkin juga nama Bagan Datuk kerana sebab lain?
Umum tak tahu guru agama dan pondok ramai bukan main
Kehadiran mereka dulu menjadi tonggak
kekuatan pengajian Islam di negeri Perak
Antara nama-nama besar ulamak:
Kiyai Mohd Yasin Thoha Al-Bakri (Sungai Batang Baruh)
Tuan Guru Dato’ Haji Ghazali Arshad (Batu 26),
dan menantunya Tn Hj Hashim Anang
Tuan Guru Haji Abdul Rahman Hassan (Teluk Penikam)
Tuan Guru Kiyai Radin Haji Siraj (Sungai Nipah Darat)
Tuan Guru Haji Abdullah (Sungai Nipah Baroh)
Tuan Guru Haji Abbas dan Tuan Guru Haji Masduki (Sungai Tiang Darat),
Tuan Guru Haji Radzi (Selekoh)
Tuan Guru Haji Arshad (Batu 20)
Tuan Guru Haji Adnan (Tanjung Bayan)
Mereka ini punya murid dan pengikut yang banyak
Masjid al Quro di pekan Bagan Datuk jadi mercu tanda
Di situ Tuan Guru Hj Abdul Rahman mengajar agama
Diusahakan pembinaan oleh Dato' Penghulu Embi
Dan penduduk Kampung Teluk Penikam dan Pasang Api
Tuan Guru kembali ke rahmatullah semasa cucu-cucunya di bangku sekolah
Ku lihat terukir senyuman pada wajah arwah
Susah nakku lupakan kerana ia terukir indah
Datukku berasal Seberang Perai merantau ke bumi bertuah
Firman Allah swt "Itu adalah umat yang lalu; baginya apa yang telah diusahakannya dan bagimu apa yang sudah kamu usahakan, dan kamu tidak akan diminta pertanggungan jawab tentang apa yang telah mereka kerjakan." (al-Quran 2: 134)
Guru terulung ialah Tuan Guru Dato’ Haji Ghazali
Lebih 10 tahun beliau menimba ilmu di Tanah Suci
Tuan Guru mendirikan Madrasah Irshadiah setelah kembali
Haji Ghazali antara terawal akademik dan agama diintegrasi
Antara pengiktirafan diterima peringkat negara dan negeri Perak:
Pengerusi Jawatankuasa Menilai Darjah Kealiman Calon-calon Mufti Kerajaan
Negeri Perak (1976)
Tokoh Maal Hijrah peringkat daerah Hilir Perak (1989)
Pingat Dato’ Paduka Mahkota Perak daripada Sultan Perak (1992)
Juga kerana ketokohan dan keilmuan yang mendalam
Universiti Kebangsaan Malaysia anugerahkan Tokoh Ulama Silam (1989)
Kata-kata hikmah Tuan Guru Dato:
"Penuntut agama adalah umpama setandan buah kelapa,
ada yang gugur dibuat gulai untuk orang lain dan ada juga yang gugur dan bercambah (pula),
Yang dibuat gulai itu menunjukkan kurang tersebar ilmunya,
manakala yang bercambah pula bagi orang yang dapat menyebarkan ilmunya,
sehingga dapat melahirkan para ilmuan (semula).”
Demikianlah sedikit tentang Bagan Datuk
Sejarah gemilang yang sangat tokok
daerah terpencil di negeri Perak
yang berjasa melahirkan mualim dan ulamak
Dari sini muncul tokoh-tokoh pejuang dan pendakwah
yang kini tinggal dalam lipatan sejarah
Mereka gigih menegakkan syiar Islam di bumi bertuah
Penduduk majmuk hidup aman muhibbah
Walaupun tak dapat kita mengulangi kegemilangan sejarah
Mari pelihara Bagan Datuk agar terus berkat dan bertuah
Projek-projek baru sedang dirancang bakal merubah wajah
Kekalkan berkat dengan pembangunan patuh syariah
Dipuisikan oleh drK@KuantumHarapan, Jan 2017
Used to visit Bagan Datoh (as it was called then) when i had friends there; Kamal, Tan Kim Chen and Wahab
ReplyDeleteMy SRJK friends using BaghDat instead of Bagan Datuk..sounds like Baghdad...he he.
ReplyDelete