Sunday, 29 January 2017

ULANG TAHUN HARI LAHIRKU KE 55 PENUH MAKNA (puisi)

Beberapa bulan lepas  ada hari yang agak istimewa,
Dengan izinNya aku mencapai usia 55,
Aku ambil peluang untuk menyatakan kesyukuran,
dan untuk mengenang nikmat Tuhan,
di sepanjang perjalanan kehidupan,
Syukur padaNya kerana umurku masih ada,
Sudah agak jauh perjalanan hidupku sejak lahir ke dunia,
Dapatku menadah pelbagai nikmat dari Pencipta,
Syukur atas peluang yang diberi oleh Allah Maha Kuasa

Aku terima hakikat bahwa hidup ini cobaan,
untuk membuktikan iman dan ketaatan,
dan perjuangan menentang godaan,
Di usia ini ku harap diterima segala amalan,
Pengembaraan hidupku tak kesepian dari kesalahan dan kesilapan,
kerana aku hanya manusia biasa,
Tapi aku yakin Tuhanku Maha Pengampun segala dosa.

Aku dilahirkan dalam keluarga sederhana,
di Bagan Datoh pekan tercinta,
Kepada ayah dan ibu aku berhutang kejayaan,
Ayahku guru suka fikir pasal pendidikan,
Kejayaan anak2 sentiasa mereka rancangkan,
Aku berketurunan Pulau Pinang bercampur Bugis dan Jawa,
Keturunan apa pun kita tetap bangsa serumpun,
Pendidikan awal di SRJK Sungai Sumun,
Sekolah menengahku di Sains Perlis,
Ketika teringat kampung ada kala aku menangis,
Habis SPM  aku dihantar ke Amerika,
Tahun 1985 aku pulang ke Malaysia,
Mula kerja untuk menyara keluarga,
Serta membalas jasa ibu bapa dan rakyat Malaysia,
Kepada mereka aku terhutang selamanya,
Pada Allah swt jua terlaksana takdirNya.

Kini aku menua di umur yang baru,
Ujian hidup akan terus memburu,
Tambah hampir aku ke penghujung usia,
Telahku lalui pelbagai peristiwa,
mengharungi kala gembira dan derita,
Ujian Allah sentiasa aku redha,
Mewarnai hidup sehingga akhirnya.

Sungguh Allah swt Maha Kaya, di atas segala kurniaNya;

Di kala aku tercari2 matlamat dan tujuan,
Engkau pertemukan aku dengan insan2 beriman,
yang mengajar Islam satu sistem kehidupan,
Baru ku sedar Islam merangkumi dunia dan keakhiratan.

Di kala aku terasa kekosongan dan kesunyian,
Engkau berikan aku teman hidup pengubat kesepian,
Dapatku mengasihi dan dikasihi keluarga,
Hidupku tidak ketandusan curahan kasih sayang mereka.

Di kala aku tiada pekerjaan,
Aku terus dipanggil kursus perguruan,
Rezeki untuk anak2 yang jadi tanggungan,
Kemudian Engkau datangkan jalan kehadapan,
Sekarang giliranku menghulur pada yang memerlukan.

Di kala aku berada di persimpangan,
Engkau pertemukan aku dengan ilmuan yang menunjukkan jalan,
Hingga aku bertapak di dunia ilmu,
Berkarya dan menyelidik hasil yang ditemu.

Di kala aku teruja dan terlalai,
Dalam kesenangan dan kenikmatan,
Hatiku banyak tertawa dan terbuai,
dari menangis dalam ketawadukan,
Engkau anugerahku anak yang keistimewaan,
Kurniaan Mu sebagai  peringatan,
Baruku sedar dunia ini bukan untuk berleka lekaan.

Syukur pada Allah dan banyak2 terima kasih aku rakamkan;
kepada keluargaku yang banyak memberi sokongan,
dan guru-guruku yang banyak berkorban,
dan teman-temanku yang terus memberi dorongan,
serta kawan-kawan yang berkongsi kegembiraan,
walaupun adakalanya timbul perbezaan,
dan pelajar-pelajarku yang meniti kesabaran,
Terima kasih kerana kehadiran dalam hidupku,
walaupun ada teman-teman yang hanya dalam talian,
Sudi berkawan hingga ke hujung kehidupan,
Entah bilakah tiba, hari kita akan berpisah jua,
Maafkan aku atas segala kekurangan,
Kenangan bersama sentiasa jadi ingatan.

Nukilan drK@KuantumHarapan, Nov 2016

1 comment:

  1. http://muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/al-kafili-al-fatawi/483-hukum-menyambut-hari-lahir-dan-ulang-tahun-perkahwinan

    ReplyDelete