Monday, 15 May 2017

Guru Berdepan Cabaran Pendidikan (puisi sempena Hari Guru)

Guru pembina modal insan negara
Di sekolah, universiti mau pun tadika
Pembimbing hala tuju pelajar kita
Penjana sudut pandang generasi muda

Guru wajar dihargai kerana berjasa
Mencurahkan ilmu tanpa mengira
Semulia-mulia pekerjaan di dunia
Bagai pelita memancarkan cahaya

Tanpa guru-guru siapalah kita
Sama ada di desa mau pun kota
Tak ada orang yang akan berjaya
Pasti ada guru yang mendidiknya

Di sekolah jadi ibu bapa ganti
Pelbagai kerenah pelajar dilayani
Tak sama menjaga anak sendiri
Yang nakal sukar dinasihati

Guru berhikmah pelajar berubah
Yang tiada matlamat jadi berminat
Yang asalnya lemah jadi tabah
Yang liat jadi tinggi semangat

Guru pendalaman berdepan cabaran
Mengajar anak-anak rendah pendidikan
Kemudahan sekolah serba kekurangan
Menjalankan tugas penuh kecekalan

Pendidikan cabaran abad ini
Negara bersaing era globalisasi
Pelajar mesti pemikiran aras tinggi
Kalau abaikan terpinggir nanti

Guru mendidik generasi depan
Pemain global berdaya persaingan
Perlu cepat buat perubahan
Didik pelajar ilmu dan kemahiran

Bangunkan pelajar berfikiran kritis
mampu tepat menganalisis
Pandai komunikasi dan kolaborasi
Akauntibiliti supaya berintegriti

Pelajar berbeza masa depan
mungkin saintis atau angkasawan
peguam mau pun usahawan
Semua terkesan guru berwawasan

Guru pencetus personaliti hebat
Guru mesti berilmu banyak
Aktiviti kreatif diperhebat
Murid berfikir di luar kotak

Guru-guru pun manusia juga
Guru adil tidak rasa betul sentiasa
Pelajar ada kala betul juga
Kena ambil pandangan semua

Guru banyakkan kesabaran
Kerenah pelajar jangan tertekan
Kalau hukum ikut garis panduan
Kena rotan terpahat di fikiran

Guru baik berlapang dada
Dalam kelas dia bukan penguasa
Galakkan pelajar sentiasa bertanya
Jadi fasilitator memotivasi mereka

Dengan guru-guru beradablah kita
Sentiasa kita menghargai mereka
Jasa guru dikenang selamanya
Sentiasa doakan semua guru kita

Kepada guru-guru semua, ku ucapkan Selamat Hari Guru.

Firman Allah swt (maksudnya):
"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang terbaik." Surah Al-Nahl (16): 125

Dipuisikan oleh drK@KuantumHarapan, Mei 2017

No comments:

Post a Comment