Al-Israk wal Mikraj bukan sekadar satu peristiwa,
juga bukan istilah yang membawa erti biasa,
Ia berlaku atas kehendak Allah Maha Kuasa,
Ia pengubah situasi (game changer),
yang mengangkat dakwah Ar-Rasul (s.a.w.) ke tahap lebih tinggi.
Al-Israk ialah perjalanan malam Ar-Rasul (s.a.w.) antara dua lokasi di bumi,
Dari Mekah ke Baitulmuqaddis yang suci,
Al-Mikraj pula perjalanan pada malam hari,
dari lokasi bumi ke langit tinggi,
Ar-Rasul (s.a.w.) diperjalankan dari Baitulmuqqadis yang suci,
Ke satu destinasi tiada manusia pernah menempuhi,
Suatu tempat yang amat jauh sekali,
Hanya Allah (s.w.t.) sahaja tahu di mana lokasi,
Dua perjalanan ini titik perubahan perjuangan Nabi (s.a.w.),
Kedua-duanya pada satu malam yang sangat diberkati.
Al-Israk wal-Miraj bagai satu pengistiharan,
sekiranya manusia di bumi terus beri penentangan,
Penghuni langit tetap menyokong perjuangan,
Sekiranya penghuni bumi menolaknya,
Allah (s.w.t.) tetap bersama ar-Rasulnya,
Perjalanan malam itu satu anugerah,
juga persediaan peringkat seterusnya dalam dakwah,
Bahwa Ar-Rasul (s.a.w.) akan diperintah berhijrah ke Madinah,
Ar-Rasul (s.a.w.) akan menempuh perjuangan lebih payah,
diperangi oleh kabilah-kabilah jahilliyah,
yang bergabung menentang risalah alamiyah.
Al-Israk wal-Mikraj mencetus persoalan dalam fikiran,
Adakah al-Israk ke al-Aqsa hanya sekadar persinggahan?
Mengapa tidak berlaku Mikraj langsung dari Baitullah?
Ada mesej yang nak disampaikan oleh Allah (s.w.t.),
bahwa al-Aqsa bukan sekadar singgah,
Tapi ia salah satu dari dua destinasi utama,
Nabi (s.a.w.) disambut oleh para rasul setibanya,
dan memimpin solat bersama mereka,
Petanda kepimpinan dakwah berubah kepada Nabi Muhammad (s.a.w.),
pembawa mesej alamiyah yang muktamad,
Al-Israk ke al-Aqsa bagai mengesah kepimpinan baru,
Allah (s.w.t.) mahukan umat Islam sedar dan faham begitu,
Ada kaitan rabbani antara al-Aqsa dengan Baitullah al-Haram,
Di lubuk hati orang beriman kesedaran ini ditanam.
Firman Allah swt (yang maksudnya) "Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda [kebesaran] Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Al-‘Israa’ 17:1)
Perkara kedua berkaitan Al-Israa’ and Al-Mikraj ialah solat,
Solat difardukan pada malam yang hebat,
Perintah kefarduan tidak dikeluarkan di bumi,
Dari al-Aqsa Allah (s.w.t.) perintahkan Mikraj ke langit tinggi,
Di Sidratul Muntaha difardhukan solat ini,
Sedangkan kefarduan lain hanya di bumi,
Petanda bertapa solat istimewa tak terperi,
Peningkatan spiritual boleh dicapai melalui ibadah ini,
Sekembalinya ar-Rasul (s.a.w.) dari perjalanan malamnya,
Dia membawa hadiah yang sangat berharga,
Satu hadiah yang boleh mengangkat dan meninggikan martabat manusia,
Ibadah solat dapat mendekat diri dengan Pencipta.
Jangan lupa doa untuk al-Aqsa setiap solat,
kerana ia juga destinasi utama al-Israk wal Mikraj,
Mari berusaha bebaskan Baitulmuqqadis seupaya dapat,
Ia tanggungjawab bersama seluruh umat.
Dipuisikan oleh drK@KuantumHarapan 2017
Penulisan yang sangat ohsem dan bermanfaat! Thanks Dr Kamal
ReplyDeleteSyukran :)
ReplyDeleteRujukan utama ialah tulisan Syeikh Yusuf al-Qardawi. Alhamdulillah, dapat saya puisikan.
ReplyDeleteGaya santai, ttp mesej 'awesome'
ReplyDeleteSalam Tuan Dr.
ReplyDeleteKami dari Perpustakaan Awam Seri Iskandar memohon keizinan/kebenaran untuk deklamasikan puisi yang indah ini sempena Israk Mikraj untuk dimasukkan ke laman FB kami. Jazakallah khairan