Saturday, 22 April 2017

Ragam Ibu Bapa di Usia Tua...(puisi santai)

Orang tua di hujung usia
Ramai kata mereka dah senja
Masa muda menabur jasa
Sudah tua menunggu masa

Orang tua bergurau senda
Lepas bergurau mengopi pula
Dulu ibu bapa jaga kita
Tiba giliran anak-anak pula

Orang tua jaga cucu
Cucu dijaga penuh gembira
Ibu bapa berkorban selalu
Dalam hati perlulah tanya

Orang tua rajin ke masjid
Buat menghabis baki usia
Kalau muda ibadah sedikit
Tunggu tua dah pula sakit

Orang tua solat waktu
Solat duduk atas bangku
Luas fekah dapat membantu
Ibadah dimudah selagi mahu

Orang tua makan ubat
Bila makan dah tak ingat
Semakin usia mula meningkat
Tugas anak tolong mengingat

Orang tua jalan-jalan
Tak pandang kiri kanan
Bila usia menuju keemasan
Hormon amat berkurangan

Orang tua mimpi ngeri
Selalu terjaga di malam hari
Tidur sudah tak nyenyak lagi
Solat malam minta ampuni

Orang tua kerap merajuk
Pandangan selalu dianggap ringan
Orang muda perlu merujuk
Dapat nasihat dari pengalaman

Orang tua nak manja-manja
Tapi teman hidup dah tiada
Balaslah jasa ibu dan bapa
Jangan tunggu mereka tiada

Orang tua berkebun bunga
Tak disiram layu belaka
Tengokkan keperluan ibu bapa
Jangan datang jengok saja

Orang tua jalan semput
Walau semput nak ikut juga
Terhadap ibu bapa lemah lembut
Anak berlembut Allah (s.w.t) reda

Orang tua mengada-ada
Sudah mengada cerewet pula
Jagalah ibu bapa yang tua
Kalau sabar balasannya syurga

Dari Ibnu Mas’ud r.a bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, :” Manakah amal yang lebih utama?” Beliau menjawab,:”Sembahyang dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah.” [ Riwayat Bukhari]

Nukilan drK@KuantumHarapan, April 2017

No comments:

Post a Comment