Saturday, 29 July 2017

Hargai Kemerdekaan Negara Kita (pantun & puisi sempena sambutan ulangtahun Merdeka ke 61)

Bahtera berlayar di tengah laut
Sampan kayu mudik ke tanjung
Ingatan terlintas mulut tersebut
Sejarah merdeka sama dijunjung

Penjajahan bermula tewas Melaka
Kerana fitnah Bendahara dianiaya
Menentang Portugis tidak sekata
Si Kitol subahat musuhi negara

Empat ratus tahun tempoh lama
Inggeris selepas Portugis dan Belanda
Penjajah Eropah silih berganti
Selain rempah agenda tersembunyi

Orang Melayu disuruh bertani
Jadi nelayan dan pesawah padi
Orang India di estate sebagai pekerja
Orang Cina berlombong dan menjaja

Melayu berdepan kemiskinan di desa
India tersepit di estate mereka
Orang Cina ada yang susah juga
Ramai di bandar gigih berniaga

Kejahatan British jangan dilupa
Kekayaan nusa dirompak mereka
Bijih timah dan besi diangkut belaka
Arang batu dan emas dikaut juga

Kedatangan Jepun pembuka mata
British dihalau dari nusantara
Sekembali British keadaan berbeza
Tuntutan merdeka lantang bergema

Merdeka hasil dari pengorbanan
Cina dan India diberi kerakyatan
Hak istimewa Melayu jadi jaminan
Kontrak sosial hasil persetujuan

Sistem negara Raja Berperlembagaan
Demokrasi Berparlimen jadi amalan
Bahasa Melayu bahasa kebangsaan
Islam dinobat agama Persekutuan

Bangsa lain dijamin hak mereka
Bebas untuk menganut agama
Berhak mengguna bahasa ibunda
Sama dinaungi perundangan negara

Perlembagaan negara tinggi dijunjung
Semua rakyat rasa terlindung
Toleransi beragama bebas berbudaya
Dijadi formula perpaduan kita

Bahtera berlindung di Pulau Langkawi
Selamat dari dilanda tsunami
Pasca merdeka sama mengisi
Agar termaju seluruh negeri

Gilang gemilang Kesultanan Melaka
Sultan Mansur Shah di kemuncaknya
Mashur Melaka kerana keadilannya
Islam dihormati seluruh nusantara

61 tahun sejak merdeka,
Mentadbir sendiri negara tercinta
Masyarakat berusaha disusun semula
Sama membangun majukan negara

61 tahun negara merdeka
Kesan penjajahan masih ada
Ekonomi masih tak sama rata
Perbezaan kaum masih ketara

Keadilan meluas mesti ditegakkan
Rasa perkauman harus dihapuskan
Terus bentrasi rasuah dan ketirisan
Nasib rakyat jadikan keutamaan

Tanah ini tempat tumpah darah
Pertahankan dengan semangat wataniah
Berkorban demi ibu pertiwi
Bukan kerana individu atau parti

Kelangsungan negara terus dijaga
Perlembangaan kita junjung bersama
Semua bangsa rasa terbela
Bersama di bawah satu bendera

Tingkap papan kayu bersegi
Rumah tradisi Pulau Langkawi
Kalau ada silap segera dibaiki
Agar merdeka terus mengungguli

Firman Allah (s.w.t.):
"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri (itu) beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi..." [Surah Al-A’raf/7:96].

Nukilan drK@KuantumHarapan, Ogos 2018 (di kemas kini)

No comments:

Post a Comment