Sunday, 23 April 2017

Hikmah al-Israk sebelum al-Mikraj (puisi)

Al-Israk wal Mikraj bukan sekadar satu peristiwa,
juga bukan istilah yang membawa erti biasa,
Ia berlaku atas kehendak Allah Maha Kuasa,
Ia pengubah situasi (game changer),
yang mengangkat dakwah Ar-Rasul (s.a.w.) ke tahap lebih tinggi.

Al-Israk ialah perjalanan malam Ar-Rasul (s.a.w.) antara dua lokasi di bumi,
Dari Mekah ke Baitulmuqaddis yang suci,
Al-Mikraj pula perjalanan pada malam hari,
dari lokasi bumi ke langit tinggi,
Ar-Rasul (s.a.w.) diperjalankan dari Baitulmuqqadis yang suci,
Ke satu destinasi tiada manusia pernah  menempuhi,
Suatu tempat yang amat jauh sekali,
Hanya Allah (s.w.t.) sahaja tahu di mana lokasi,
Dua perjalanan ini titik perubahan perjuangan Nabi (s.a.w.),
Kedua-duanya pada satu malam yang sangat diberkati.

Al-Israk wal-Miraj bagai satu pengistiharan,
sekiranya manusia di bumi terus beri penentangan,
Penghuni langit tetap menyokong perjuangan,
Sekiranya penghuni bumi menolaknya,
Allah (s.w.t.) tetap bersama ar-Rasulnya,
Perjalanan malam itu satu anugerah,
juga persediaan peringkat seterusnya dalam dakwah,
Bahwa Ar-Rasul (s.a.w.) akan diperintah berhijrah ke Madinah,
Ar-Rasul (s.a.w.) akan menempuh perjuangan lebih payah,
diperangi oleh kabilah-kabilah jahilliyah,
yang bergabung menentang risalah alamiyah.

Al-Israk wal-Mikraj mencetus persoalan dalam fikiran,
Adakah al-Israk ke al-Aqsa hanya sekadar persinggahan?
Mengapa tidak berlaku Mikraj langsung dari Baitullah?
Ada mesej yang nak disampaikan oleh Allah (s.w.t.),
bahwa al-Aqsa bukan sekadar singgah,
Tapi ia salah satu dari dua destinasi utama,
Nabi (s.a.w.) disambut oleh para rasul setibanya,
dan memimpin solat bersama mereka,
Petanda kepimpinan dakwah berubah kepada Nabi Muhammad (s.a.w.),
pembawa mesej alamiyah yang muktamad,
Al-Israk ke al-Aqsa bagai mengesah kepimpinan baru,
Allah (s.w.t.) mahukan umat Islam sedar dan faham begitu,
Ada kaitan rabbani antara al-Aqsa dengan Baitullah al-Haram,
Di lubuk hati orang beriman kesedaran ini ditanam.

Firman Allah swt (yang maksudnya) "Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda [kebesaran] Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Al-‘Israa’ 17:1)

Perkara kedua berkaitan Al-Israa’ and Al-Mikraj ialah solat,
Solat difardukan pada malam yang hebat,
Perintah kefarduan tidak dikeluarkan di bumi,
Dari al-Aqsa Allah (s.w.t.) perintahkan Mikraj ke langit tinggi,
Di Sidratul Muntaha difardhukan solat ini,
Sedangkan kefarduan lain hanya di bumi,
Petanda bertapa solat istimewa tak terperi,
Peningkatan spiritual boleh dicapai melalui ibadah ini,
Sekembalinya ar-Rasul (s.a.w.) dari perjalanan malamnya,
Dia membawa hadiah yang sangat berharga,
Satu hadiah yang boleh mengangkat dan meninggikan martabat manusia,
Ibadah solat dapat mendekat diri dengan Pencipta.

Jangan lupa doa untuk al-Aqsa setiap solat,
kerana ia juga destinasi utama al-Israk wal Mikraj,
Mari berusaha bebaskan Baitulmuqqadis seupaya dapat,
Ia tanggungjawab bersama seluruh umat.

Dipuisikan oleh drK@KuantumHarapan 2017

Saturday, 22 April 2017

Ragam Ibu Bapa di Usia Tua...(puisi santai)

Orang tua di hujung usia
Ramai kata mereka dah senja
Masa muda menabur jasa
Sudah tua menunggu masa

Orang tua bergurau senda
Lepas bergurau mengopi pula
Dulu ibu bapa jaga kita
Tiba giliran anak-anak pula

Orang tua jaga cucu
Cucu dijaga penuh gembira
Ibu bapa berkorban selalu
Dalam hati perlulah tanya

Orang tua rajin ke masjid
Buat menghabis baki usia
Kalau muda ibadah sedikit
Tunggu tua dah pula sakit

Orang tua solat waktu
Solat duduk atas bangku
Luas fekah dapat membantu
Ibadah dimudah selagi mahu

Orang tua makan ubat
Bila makan dah tak ingat
Semakin usia mula meningkat
Tugas anak tolong mengingat

Orang tua jalan-jalan
Tak pandang kiri kanan
Bila usia menuju keemasan
Hormon amat berkurangan

Orang tua mimpi ngeri
Selalu terjaga di malam hari
Tidur sudah tak nyenyak lagi
Solat malam minta ampuni

Orang tua kerap merajuk
Pandangan selalu dianggap ringan
Orang muda perlu merujuk
Dapat nasihat dari pengalaman

Orang tua nak manja-manja
Tapi teman hidup dah tiada
Balaslah jasa ibu dan bapa
Jangan tunggu mereka tiada

Orang tua berkebun bunga
Tak disiram layu belaka
Tengokkan keperluan ibu bapa
Jangan datang jengok saja

Orang tua jalan semput
Walau semput nak ikut juga
Terhadap ibu bapa lemah lembut
Anak berlembut Allah (s.w.t) reda

Orang tua mengada-ada
Sudah mengada cerewet pula
Jagalah ibu bapa yang tua
Kalau sabar balasannya syurga

Dari Ibnu Mas’ud r.a bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, :” Manakah amal yang lebih utama?” Beliau menjawab,:”Sembahyang dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah.” [ Riwayat Bukhari]

Nukilan drK@KuantumHarapan, April 2017

Friday, 7 April 2017

Luka di Tangan Nampak Berdarah (pantun)

Burung pipit terbang sekawan,
Turun ke sawah mencari ikan,
Hutang budi kenang-kenangkan,
Jangan selamanya jadi igawan.

Kalau dibiar sawah menyepi,
Lalang tumbuh dengan sendiri,
Kalau tidak ditanam padi,
Masakan dapat hasilnya kini.

Ada padi kurang menjadi,
Walaupun lebat bunga di tangkai,
Terasa penat menabur budi,
Belumpun sempat jasa dituai.

Sawah disembur diracun lagi,
Elak serangga dan juga rumpai,
Ku gantung kelapa cukuplah tinggi,
Boleh juga dikorek tupai.

Tak pandai mengayuh perahu terlajak,
Ketebing undur dengan perlahan,
Pandai bukan bererti bijak,
Salah memetik rosak sedahan.

Biar ribut kiri dan kanan,
Asal lautan berombak jangan,
Maruah bukan mainan rayuan,
Walau tergadai kampung halaman.

Buah berangan masaknya merah,
Kelekati dalam perahu,
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati siapa yang tahu.

Bagai kaca terhempas ke lantai,
Sudah terhempas ia berkecai,
Bagai kertas remuk digumpal,
Lepas digumpal retaknya tinggal.

Belum selesai ku tuai padi,
Lalang pula yang tumbuh tinggi,
Ku tanam ubi buat pengganti,
Agar lalang tak tumbuh lagi.

Nakhoda Manis lagenda ngeri,
Berubah membatu di pantai negeri,
Cerita ibarat bagi yang mengerti,
Balasan dosa di akhirat nanti.

Nukilan drK@KuantumHarapan, April 2017

Sunday, 2 April 2017

Kerana Kurang Adab Lebuhraya Jadi Bahaya (puisi#2)

Kita orang timur terkenal dengan budi bahasa,
Santun beradab dan lembut tutur kata,
Tapi atas jalanraya mengapa lain pula ceritanya?
Mungkin berebut nak ke tempat kerja agaknya,
kerana dah lewat kena le kejar masa,
atau hilang adab di jalanraya dah jadi lumrah kita,
Yang bersikap begini bukanlah semua,
Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Kalau di highway bergegas tu senario biasa,
Had laju kat highway 110 km sejam saje,
Had laju mana ikut saiz kereta,
Tapi kereta besar banyak bermaharajalela,
Kelajuan mereka jauh melebihi hadnya,
High beam dari jauh untuk halau kita,
Lambat tukar mereka ikut bontot kita,
Di manakah hilangnya adab mereka?
Kalau semua pemandu beradab,
Tak perlu guna AES untuk mengendap.

Lagi pelik ialah kenderaan berat kita,
Had laju kat highway 90 km sejam saje,
Tapi bas dan lori ada yang pecut juga,
Bawa kenderaan berat secara bahaya,
Brek tak makan dah jadi cerita biasa,
Akibatnya berlaku malapetaka,
Penumpang dan kenderaan kecil menjadi mangsa,
Kalau derebar beradab tak perlu speed breaker.

Teramat pelik aksi motor kuasa besar,
Bila mereka berderum kita yang berdebar,
Rasa macam kita nak kena langgar,
Mereka memotong dan selit menyelit,
Aksi mereka mecam lepas gian sikit,
Kamera AES pun tak dapat rakam mereka,
Tengok cermin belakang nampak clear,
Tak semena mena mereka muncul aje,
Tersangat laju macam The Flash punye cerita,
Kawan-kawan kita tak sayang ke nyawa?
Lebuhraya bukan litar lumba,
Elok pasangkan aje motor mereka speed breaker.

Kat highway motor kecil hebat juga,
Di LPT dekat Temerloh tempat memperaga,
Berbaring atas motosikal aksi macam superman,
Ada yang konon macam spiderman,
Adab sudah tiada dalam perkiraan,
Polis kenalah selalu buat rondaan.

Hakikatnya, lebuhraya bukan padang permainan,
Bukan tempat untuk melepaskan gian,
Jangan jadikan pulak macam litar F1,
Pembayar tol pula terancam kecelakaan,
Di mana hilangnya adab kawan-kawan?
Sengaja letak diri dalam keadaan bahaya,
Pening kepala penguatkuasa lebuhraya.

Kalau highway jam mungkin ada kemalangan,
Banyak kereta mula guna lorong kecemasan,
Ini menambah burukkan kesesakan,
Ambulance pun tak dapat gunakan laluan,
Orang cedera tunggu pertolongan tak tiba,
Perbuatan yang sangat tak bertimbang rasa,
Kena saman, ke mahkamah terus le jawabnya.

Pemandu negara-negara maju sangat beradab,
Aku dulu belajar kat US dan ke Jepun aku kerap,
Kenalah kaji, sikap beradab terhasil apa sebab,
Kat Midwest US penguatkuasaan lebuhraya berkesan,
Siapa lebihi had laju kena kejar polis rondaan,
Tak kira kecil atan besar kereta mereka,
Kalau slow sangat pun kena tahan juga,
Memang tak ade le peluang nak berlumba,
Kereta ronda ada menyorok di mana-mana,
Kat Jepun, derebar bas siap berpakaian seragam,
Bawa bas tepat masa dan berdisiplin semacam,
Kalau mereka memandu di negara kita,
Pasti terasa lebuhraya kita tinggi risikonya.

Tak cemburu ke pada pemandu negara maju?
Lebuhraya jadi selamat dan pemanduan bermutu,
Banyak adab dan peraturan yang kita boleh tiru,
Tahap penguatkuasaan mereka juga boleh jadi contoh jitu.

Sabda Nabi (s.a.w.) maksudnya: " Tidak boleh membahayakan orang lain dan tidak boleh membalas bahaya dengan bahaya" (Riwayat ibn Majah)

Nukilan drK@KuantumHarapan, April 2017